


















Read more...


DALAM sejarah ketamadunan Melayu, pendapat umum sepakat mengatakan tiada keris lebih terkenal dan teragung selain keris Taming Sari.
Kisah keris yang digambarkan penuh sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah senjata tajam itu seiring dengan legenda pendekar Melayu terulung, Hang Tuah.
Mengambil nama sempena pemilik asalnya, seorang pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit, fungsi asal Taming Sari adalah sebagai keris kerajaan bagi jawatan Laksamana semasa Kesultanan Melayu Melaka.
Sebagaimana misterinya kehilangan Hang Tuah selepas dia gagal meminang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka, begitu juga riwayat keris Taming Sari selepas era pendekar Melayu itu.
Pelbagai versi mengenai Taming Sari diperturunkan secara lisan dan yang paling terkenal ialah keris sakti berkenaan telah dicampak Hang Tuah ke dalam Sungai Duyung di Melaka.
Namun, mitos tidak semestinya selari dengan realiti. Kenyataannya, keris Taming Sari yang dipercayai berusia lebih 500 tahun itu telah menjadi sebahagian daripada alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak sejak tahun 1528 lagi.
Pengarah Muzium Perak, Nor Janati Ibrahim berkata, mengikut sejarah, episod kegagalan meminang Puteri Gunung Ledang telah menjatuhkan air muka Hang Tuah lantas beliau menyerahkan Taming Sari kepada Tun Mamat untuk dibawa balik menghadap Sultan Mahmud Shah.
Setelah empayar Melaka runtuh ditawan Portugis pada tahun 1511, keris keramat itu turut dibawa bersama rombongan Sultan Mahmud yang berundur ke Kampar, Sumatera.
“Kemudian atas pemintaan pembesar Perak diketuai Tun Saban, baginda mengirimkan anakandanya, Raja Muzaffar Shah untuk berangkat ke Perak bagi mengasaskan kesultanan Melayu di negeri itu.
Keris kuasa
“Baginda turut mengurniakan beberapa peralatan termasuk keris Taming Sari untuk dijadikan alat kebesaran negeri Perak yang baru ditubuhkan itu,” jelas Janati kepada Jurnal ketika ditemui pada Pameran Taming Sari di Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak minggu ini.
Ditebak dengan versi yang mengatakan Taming Sari masih terbenam di dasar Sungai Duyung, Janati berpendapat dakwaan itu sekadar legenda.
Katanya lagi, seperti pembikinan sebuah filem, penceritaan kisah lisan dan hikayat tidak semestinya selari dengan fakta sebenar malah boleh ditokok tambah.
“Kajian Muzium Perak mendapati keris Taming Sari yang menjadi alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak menepati ciri-ciri termasuk gambar rajah yang terdapat pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.
“Manuskrip terbabit turut mengandungi zikir dan amalan perang yang diamalkan Tariqat al-Shazilliah yang berkembang sekitar abad berkenaan,” ujarnya.
Pengurus Pameran Taming Sari itu berkata, Taming Sari merupakan keris kuasa atau bawar yang menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak. Sehubungan itu, keris terbabit disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain di dalam sebuah peti besi khas di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Seingat beliau, cuma empat kali keris Taming Sari dipamerkan kepada khalayak atas perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah termasuk yang terbaru selama seminggu sehingga hari ini.
| |
| KERIS Taming Sari menjadi tumpuan golongan muda yang mengikuti kisah legenda Hang Tuah. |
Bersilat
“Penganjuran pameran ini bukan bertujuan untuk membuktikan ketulenan keris Taming Sari kerana tiada keperluan untuk itu.
“Ia lebih kepada untuk memberi ruang kepada rakyat menyaksikan sendiri keris kuasa terbabit yang begitu eksklusif sebelum ini sempena ulang tahun sambutan keputeraan baginda,” jelasnya.
Penganjuran Pameran Taming Sari kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai kaum. Dianggarkan lebih 7,000 orang melawat Galeri Sultan Azlan Shah bagi melihat keris terbabit.
Panglima Perang Kiri Istana Perak, Muhammad Dzulkanain Osman pula berkata, ada pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang Pameran Taming Sari di galeri berkenaan. Menurutnya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri terbabit bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.
Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.
“Sepanjang penganjuran pameran kali ini, pernah sekali berlaku kejadian lima lelaki dewasa tiba-tiba bersilat serentak di hadapan ruang Pameran Taming Sari.
“Saya percaya tindakan mistik itu berpunca daripada perbuatan mereka menggunakan ilmu untuk ‘menguji’ kekuatan Taming Sari namun tertewas,” ujar beliau yang merupakan antara pegawai Istana Perak yang bertugas memantau perjalanan pameran terbabit.
Kejadian selama beberapa minit pada petang Selasa lalu itu menggemparkan pengunjung yang berada di dalam galeri itu. Menurut Janati pula, kelima-lima lelaki dipercayai keturunan Jawa terbabit ditenangkan oleh seorang rakan mereka sebelum masing-masing segera angkat kaki dari premis terbabit.
Selain itu, keris Taming Sari dan Seri Gading tidak disimpan di dalam galeri selepas waktu lawatan yang berakhir pukul 5 petang. Sebaliknya, kedua-dua keris kebesaran Perak tersebut dibawa pulang oleh Tok Nara Diraja yang bertugas sebagai Ketua Istiadat dan Penyimpan Alat Kebesaran Perak ke Istana Iskadariah yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.
Pegawai istana terbabit juga yang bertanggungjawab mengeluarkan Taming Sari dan Seri Gading dari simpanan untuk dipamerkan ke dalam Galeri Sultan Azlan Shah pada 10 pagi sepanjang tempoh tersebut.
“Sewaktu kedua-dua proses tersebut berlangsung, kenderaan yang membawa bekas khas kedua-dua keris itu akan diiringi oleh beberapa kereta peronda polis bagi menjamin keselamatannya,” jelas Janati.
Biarpun tidak mengiyakan mahupun menidakkan dakwaan Taming Sari mampu menjadikan pemiliknya kebal, Dzulkanain menjelaskan bukan calang-calang individu mampu menyentuhnya. Selain Sultan Azlan sebagai pemilik mutlak, keris itu hanya ‘tunduk’ di bawah jagaan Tok Nara Diraja. Katanya, walaupun Taming Sari sudah lama tidak diasap dan dilimau, ada zikir khusus dibaca Tok Nara Diraja sebelum memegangnya.
Sumber artikel : Kosmo online

SEGALA-GALANYA bermula daripada dasar Malayan Union yang diperkenalkan pada 4 April 1946 di Tanah Melayu oleh Parti Buruh Britain.
Sebaik Perang Dunia Kedua tamat, British yang kembali ke Tanah Melayu mengusir tentera Jepun menganggap kedaulatan Tanah Melayu sudah tidak wujud. Malah, British berpendapat sudah tiba masanya mereka berkuasa dalam menentukan sistem pentadbiran Tanah Melayu.
Bertitik-tolak daripada pascapeperangan berkenaan tanpa melakukan sebarangan rundingan bersama wakil orang Melayu, British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan Union.Malangnya, dasar Malayan Union telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Melayu.
Ketika itu, Dato Onn Jaafar, Dr. Burhanudin Helmi pegawai, kumpulan bangsawan dan segelintir orang Melayu menentang Malayan Union. Mereka rasa terhina dengan sikap British yang angkuh dan bertindak sesuka hati dalam mewujudkan pentadbiran baru di Tanah Melayu. Lebih menyemarakkan kemarahan apabila British mahu menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu.
Raja-raja Melayu bukan saja diminta menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing kepada British malah undang-undang baru diperkenalkan kepada raja-raja. Secara tidak langsung, dasar Malayan Union itu sendiri yang menyebabkan orang Melayu hilang sabar dan tercabar apabila kedaulatan raja-raja dan maruah bangsa diperkotak-katik oleh bangsa asing.
Menurut tokoh sejarah Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, fenomena kebangkitan dan kemarahan orang Melayu memberi kejutan kepada pihak British yang selama ini menyifatkan orang Melayu mudah menurut perintah.
Ujarnya, jika orang Melayu pada era itu tidak bangkit menentang Malayan Union, tidak mustahil Tanah Melayu atau Malaysia hari ini tidak mempunyai raja-raja berdaulat yang memayungi negara. “Episod kemarahan orang Melayu terhadap Malayan Union telah membawa berita baik khususnya kepada orang Melayu.
“Bagi memastikan institusi Raja-Raja Melayu tidak dihapuskan dan terus kekal, maka jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Ini disebabkan berdasarkan laporan Suruhanjaya Reid, Persekutuan Tanah Melayu yang mengecapi kemerdekaan wajar diketuai seorang raja,” jelas Kay Kim yang turut memberitahu jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan pada Ogos 1957 selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.
Sistem monarki
Memandangkan Malaysia memiliki Raja-Raja Melayu dari sembilan buah negeri seperti iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak, maka setiap raja diberi peluang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun. Ia termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.
Secara amnya, jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah jawatan yang diwarisi turun temurun. Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai ketua negara yang memayungi rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan taraf kehidupan.
Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen pada dua peringkat iaitu peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri.
Pada peringkat Persekutuan, ketua negara merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong manakala di peringkat negeri ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja, Yang di-Pertuan Besar atau Yang Dipertua Negeri.
Raja berperlembagaan bermaksud sistem beraja mengikut perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri manakala raja di sesebuah negeri pula bertindak menurut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, dilantik menerusi undi sulit dan persidangan oleh Majlis Raja-raja yang dihadiri oleh sembilan raja setiap negeri.
Seorang lagi pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam memberitahu, sistem beraja di Tanah Melayu sudah mula wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar tahun 1400 yang diasaskan Parameswara iaitu seorang putera raja Srivijaya dari Palembang.
Evolusi sistem beraja
| |
| PENENTANGAN Orang Melayu terhadap Malayan Union meneruskan legasi raja-raja berdaulat yang memayungi negara. |
Meskipun pada satu ketika Melaka pernah lumpuh akibat diserang Portugis tetapi sistem kerajaan dan raja sentiasa ada apabila putera Sultan Alauddin Riayat Shah II anak kepada Sultan Mahmud Shah menubuhkan Kesultanan Johor di Johor bagi meneruskan dan mewarisi Kesultanan Melaka.
“Sistem beraja di Malaysia turut mengalami evolusi sejajar dengan peredaran masa tanpa sedikitpun menjejaskan hak dan keistimewaan raja itu sendiri. Lagipun peranan raja pada zaman dulu dan kini sudah berbeza.
“Dahulu raja mempunyai kuasa mutlak. Segala arahan, cadangan dan keputusan diputuskan oleh raja kerana pada masa itu Dewan Rakyat dan Parlimen belum wujud. Hari ini, negara yang mengamalkan konsepkan demokrasi segala keputusan dan rang undang-undang yang dibuat perlu dibincang terlebih dahulu tetapi perlu mendapat perkenan raja,” jelas Ramlah kepada Kosmo!.
Tambah Ramlah, Yang di-Pertuan Agong adalah lambang keutuhan negara. Sebagai ketua negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan dan kuasa penting pada pentadbiran negara serta rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Selain bertindak sebagai ketua agama Islam, Yang di-Pertuan Agong turut berfungsi dalam tiga cabang utama iaitu eksekutif kerajaan, legislatif dan kehakiman. Dalam cabang eksekutif kerajaan, Agong berkuasa melantik Perdana Menteri, selepas pilihan raya umum manakala diperingkat legislatif pula Agong merupakan salah satu komponen Parlimen yang bertindak memanggil dan membubar Parlimen.
Sementara itu, dalam cabang kehakiman, Agong mempunyai peranan besar melantik ketua hakim negara selepas berunding bersama Majlis Raja-Raja berdasarkan nasihat Perdana Menteri.
Sumber artikel : Kosmo Online