DALAM sejarah ketamadunan Melayu, pendapat umum sepakat mengatakan tiada keris lebih terkenal dan teragung selain keris Taming Sari.
Kisah keris yang digambarkan penuh sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah senjata tajam itu seiring dengan legenda pendekar Melayu terulung, Hang Tuah.
Mengambil nama sempena pemilik asalnya, seorang pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit, fungsi asal Taming Sari adalah sebagai keris kerajaan bagi jawatan Laksamana semasa Kesultanan Melayu Melaka.
Sebagaimana misterinya kehilangan Hang Tuah selepas dia gagal meminang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka, begitu juga riwayat keris Taming Sari selepas era pendekar Melayu itu.
Pelbagai versi mengenai Taming Sari diperturunkan secara lisan dan yang paling terkenal ialah keris sakti berkenaan telah dicampak Hang Tuah ke dalam Sungai Duyung di Melaka.
Namun, mitos tidak semestinya selari dengan realiti. Kenyataannya, keris Taming Sari yang dipercayai berusia lebih 500 tahun itu telah menjadi sebahagian daripada alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak sejak tahun 1528 lagi.
Pengarah Muzium Perak, Nor Janati Ibrahim berkata, mengikut sejarah, episod kegagalan meminang Puteri Gunung Ledang telah menjatuhkan air muka Hang Tuah lantas beliau menyerahkan Taming Sari kepada Tun Mamat untuk dibawa balik menghadap Sultan Mahmud Shah.
Setelah empayar Melaka runtuh ditawan Portugis pada tahun 1511, keris keramat itu turut dibawa bersama rombongan Sultan Mahmud yang berundur ke Kampar, Sumatera.
“Kemudian atas pemintaan pembesar Perak diketuai Tun Saban, baginda mengirimkan anakandanya, Raja Muzaffar Shah untuk berangkat ke Perak bagi mengasaskan kesultanan Melayu di negeri itu.
Keris kuasa
“Baginda turut mengurniakan beberapa peralatan termasuk keris Taming Sari untuk dijadikan alat kebesaran negeri Perak yang baru ditubuhkan itu,” jelas Janati kepada Jurnal ketika ditemui pada Pameran Taming Sari di Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak minggu ini.
Ditebak dengan versi yang mengatakan Taming Sari masih terbenam di dasar Sungai Duyung, Janati berpendapat dakwaan itu sekadar legenda.
Katanya lagi, seperti pembikinan sebuah filem, penceritaan kisah lisan dan hikayat tidak semestinya selari dengan fakta sebenar malah boleh ditokok tambah.
“Kajian Muzium Perak mendapati keris Taming Sari yang menjadi alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak menepati ciri-ciri termasuk gambar rajah yang terdapat pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.
“Manuskrip terbabit turut mengandungi zikir dan amalan perang yang diamalkan Tariqat al-Shazilliah yang berkembang sekitar abad berkenaan,” ujarnya.
Pengurus Pameran Taming Sari itu berkata, Taming Sari merupakan keris kuasa atau bawar yang menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak. Sehubungan itu, keris terbabit disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain di dalam sebuah peti besi khas di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Seingat beliau, cuma empat kali keris Taming Sari dipamerkan kepada khalayak atas perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah termasuk yang terbaru selama seminggu sehingga hari ini.
|
|
Bersilat
“Penganjuran pameran ini bukan bertujuan untuk membuktikan ketulenan keris Taming Sari kerana tiada keperluan untuk itu.
“Ia lebih kepada untuk memberi ruang kepada rakyat menyaksikan sendiri keris kuasa terbabit yang begitu eksklusif sebelum ini sempena ulang tahun sambutan keputeraan baginda,” jelasnya.
Penganjuran Pameran Taming Sari kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai kaum. Dianggarkan lebih 7,000 orang melawat Galeri Sultan Azlan Shah bagi melihat keris terbabit.
Panglima Perang Kiri Istana Perak, Muhammad Dzulkanain Osman pula berkata, ada pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang Pameran Taming Sari di galeri berkenaan. Menurutnya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri terbabit bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.
Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.
“Sepanjang penganjuran pameran kali ini, pernah sekali berlaku kejadian lima lelaki dewasa tiba-tiba bersilat serentak di hadapan ruang Pameran Taming Sari.
“Saya percaya tindakan mistik itu berpunca daripada perbuatan mereka menggunakan ilmu untuk ‘menguji’ kekuatan Taming Sari namun tertewas,” ujar beliau yang merupakan antara pegawai Istana Perak yang bertugas memantau perjalanan pameran terbabit.
Kejadian selama beberapa minit pada petang Selasa lalu itu menggemparkan pengunjung yang berada di dalam galeri itu. Menurut Janati pula, kelima-lima lelaki dipercayai keturunan Jawa terbabit ditenangkan oleh seorang rakan mereka sebelum masing-masing segera angkat kaki dari premis terbabit.
Selain itu, keris Taming Sari dan Seri Gading tidak disimpan di dalam galeri selepas waktu lawatan yang berakhir pukul 5 petang. Sebaliknya, kedua-dua keris kebesaran Perak tersebut dibawa pulang oleh Tok Nara Diraja yang bertugas sebagai Ketua Istiadat dan Penyimpan Alat Kebesaran Perak ke Istana Iskadariah yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.
Pegawai istana terbabit juga yang bertanggungjawab mengeluarkan Taming Sari dan Seri Gading dari simpanan untuk dipamerkan ke dalam Galeri Sultan Azlan Shah pada 10 pagi sepanjang tempoh tersebut.
“Sewaktu kedua-dua proses tersebut berlangsung, kenderaan yang membawa bekas khas kedua-dua keris itu akan diiringi oleh beberapa kereta peronda polis bagi menjamin keselamatannya,” jelas Janati.
Biarpun tidak mengiyakan mahupun menidakkan dakwaan Taming Sari mampu menjadikan pemiliknya kebal, Dzulkanain menjelaskan bukan calang-calang individu mampu menyentuhnya. Selain Sultan Azlan sebagai pemilik mutlak, keris itu hanya ‘tunduk’ di bawah jagaan Tok Nara Diraja. Katanya, walaupun Taming Sari sudah lama tidak diasap dan dilimau, ada zikir khusus dibaca Tok Nara Diraja sebelum memegangnya.
Sumber artikel : Kosmo online
1 comments:
Betul ke tu keris taming sari
Post a Comment